Assalamualaikun
dan selamat malam semua…Selain dari ujian dari Allah yang menggugurkan
dosa-dosa, meningkatkan darjat di sisi Allah, sakit itu adalah manifestasi
kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hambanya.
Namun, tidak
ramai yang berfikiran sebegini. Sakit dianggap satu malapetaka. Sakit dianggap
sebagai penghalang untuk melakukan pekerjaan. Sakit sebagai sesuatu yang perlu
dielakkan. Tidak hairanlah jika ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan
yang tinggi setiap bulan untuk keperluan vitamin dan makanan tambahan. Walaupun
kita dituntut untuk menjaga tubuh badan yang diamanahkan oleh Allah, namun
perlu diingat bahawa penyakit boleh datang dan pergi dengan izin Allah. Sakit
itu tanda bahawa Allah mengingati kita dan ingin memberi peringatan kerana
mungkin ada perkara-perkara maksiat yang kita lakukan tanpa kita sedari.
Justeru penyakit datang lalu menggugurkan dosa-dosa mereka yang sabar
menghadapinya.
Ketika sihat, kita seolah-olah tidak
beringat dengan kesakitan. Ketika kaya, kita seolah-olah lupa pada yang kurang
upaya. Ketika terlalu seronok, kita tidak endah pada kesengsaraan orang lain. Ketika
berkuasa, seolah-olah kitalah yang paling gagah perkasa. Manusia mudah lupa!!!
Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa beradamu (kaya) sebelum jatuh miskin dan masa hidupmu sebelum mati.
Kita diuji dengan apa yang kita cakapkan dan kita diuji dengan apa yang kita lakukan.
Sakit memberikan kesempatan untuk
bertaubat dan menghapus dosa. Ruang ini selalu menjadikan manusia berfikir
kembali dan bermuhasabah dengan tindak-tanduknya sendiri. Jarang sekali kita
dapat bermuhasabah tatkala hati dilonjak gembira.
Jadi, inilah masa yang ideal agar dapat kita toleh kembali kesilapan dan seterusnya bertaubatlah pada yang Khaliq. Mohonlah sesungguhnya agar segala dosa kita diampun Tuhan. Dan merayulah pada-Nya agar kita dimudahkan segala urusan yang membelitkan, diberi kesenangan dan kesihatan tubuh badan.
Dalam hadis ada diterangkan,
“Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan kekusutan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya.
(HR. Muttafaq Alaih).
Setiap apa yang berlaku ke atas diri seseorang pasti ada
hikmah di sebaliknya. Begitu juga sakit. Sakit adalah bentuk ujian dari Allah
s.w.t kepada hamba-hambanya. Tidak kira
samada kita kaya atau miskin, sihat atau sakit, kuat atau lemah...kita tetap
akan diuji Allah dengan pelbagai dugaan hidup untuk menguji tahap keimanan
kita...
No comments:
Post a Comment